|
TAJUK BUKU : SENI DALAM ISLAM
HJ ABDUL GHANI SAMSUDIN
ISHAK HJ SULAIMAN
ENGKU IBRAHIM ISMAIL
INTERL MULTIMEDIA AND PUBLICATION 2001
BAB 1 : SENI DALAM ISLAM
1.1- KONSEP SENI
Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi
istilah, seni ialah segalayang halus dan indah lagi menyenangkan hati
serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang lebih padu, ia membawa
nilai halus, indah, baik dan suci : berguna dan bermanfaat serta
mempunyai fungsi dan nilai sosial.
Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia
yang menikmati keindahanitu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati.
Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia manakala
imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan
dari daya kreatif Allah. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada 2 :
a) Seni ciptaan Allah
b) Seni ciptaan manusia
TAJUK BUKU : SENI DALAM ISLAM
HJ ABDUL GHANI SAMSUDIN
ISHAK HJ SULAIMAN
ENGKU IBRAHIM ISMAIL
INTERL MULTIMEDIA AND PUBLICATION 2001
BAB 1 : SENI DALAM ISLAM
1.1- KONSEP SENI
Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi
istilah, seni ialah segalayang halus dan indah lagi menyenangkan hati
serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang lebih padu, ia membawa
nilai halus, indah, baik dan suci : berguna dan bermanfaat serta
mempunyai fungsi dan nilai sosial.
Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia
yang menikmati keindahanitu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati.
Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia manakala
imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan
dari daya kreatif Allah. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada 2 :
a) Seni ciptaan Allah
b) Seni ciptaan manusia
Dengan memperakukan bahawa seni juga termasuk apa yang dicipta oleh
Allah , ia tidak bermakna kita mencampuradukkan seni ciptaan manusia
dengan seni ciptaan Allah.
1.2- SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SENI
Kesenian Islam adalah
kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah berkembang
dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T.
Kesenian Islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik.
Kesenian Islam dikatakan telah berkembang sejak zaman Nabi Daud A.S dan
puteranya Nabi Sulaiman A.S dan terus berkembang di zaman Nabi Muhammad
S.A.W dan di zaman selepas kewafatan Baginda sehingga kini. Kesenian
Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang
berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan
tuntutan tauhid dan syara’.
BAB 2 : CIRI-CIRI KESENIAN ISLAM
Seni dijadikan sebagai alat
menyebarkan agama dan memperkukuhkan amal kebajikan dan kebaikan
dikalangan ummah. Hasil seni boleh menjadi faktor pendorong yang
intensif bagi mengingati dan memuji Allah. Daya seni yang dikurniakan
oleh Allah adalah bertujuan untuk menimbulkan keikhlasan dan kesedaran
dalam diri manusia. Dengan bakat seni yang ada, para seniman muslim
ternyata mampu menggunapakai pelbagai teknik, bentuk seni yang terbuka
di tempat yang berlainan ke dalam daerah seni dan budaya Islam.
Kesenian Islam menyahut seruan sebilangan keperluan asas
masyarakatnya. Ia juga mengukuhkan persiapan individu untuk mematuhi
ajaran Allah selaras dengan tujuan asas penciptaan mereka. Pernyataan
seni ibarat kaedah di antara zat spiritual dan rangka material.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab para seniman untuk menterjemahkan
idea Islam ke dalam bahasa seni. Menurut perspektif Islam, daya kreatif
seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu
digunakan sebagai bantuan untuk memeriahkan kebesaran Allah.
Selain itu, seni juga menunjukkan seni kesatuan atau kesepaduan. Ia
bermatlamat meletakkan mohor kesatuan Ilahi kepada kesetiaan perihal
dan aktiviti manusia. Kesenian Islam malah semua kesenian tradisional
memang sentiasa berorientasikan kepada ‘kegunaan’ : samada untuk
spiritual seperti mihrat yang dihias dengan sinar larikan, seni dan
ayat al-Quran mahupun pindahan ke atas objek kegunaan harian. Kesenian
Islam tidak berkisar di sekitar manusia individu, ia mempunyai
orientasi sosial dan berpaksikan kepada keperluan bersama manusia.
2.1- SIKAP ISLAM TERHADAP SENI
Pada dasarnya, sesuatu yang
indah itu disukai oleh Allah kerana Dia zat yang Maha Indah danmenyukai
yang indah. Islam mempunyai kriterianya yang tersendiri untuk dijadikan
pengukur pedoman bagi menentukan halal atau haramnya sesuatu karya seni
itu. Kriteria pertama ialah seni atau karya seni itu mestilah baik
iaitu yang mempunyai cirri-cirinya yang khusus. Antaranya ialah tidak
merosakkan budi pekerti yang mulia serta tidak melalaikan orang dari
beribadat dan
mengingati Allah. Kriteria penolakan pula ialah seni atau karya seni
tersebut buruk iaitu boleh merosakkan moral, melalaikan diri daripada
beribadat kepada Allah dan sekaligus melupakanNya.
2.1- JENIS-JENIS SENI
a) Seni suara
b) Seni rupa
c) Seni pakaian
d) Seni sastera
BAB 3 : SENI SUARA
Menurut pandangan Islam, seni suara
dibahagikan kepada 2 kriteria iaitu seni suara yang baik dan seni suara
yang buruk. Seni suara yang baik merangkumi bacaan al-Quran dengan
suara ang merdu, syahdu dan lunak, melagukan azan, menyanyikan
lagu-lagu jihad, berzikir, mendendangkan nyanyian hari-hari raya,
menyanyikan selamat jalan dan selamat kembali kepada para jemaah haji,
berzanji dan lain-lain. Seni suara yang buruk pula merangkumi
nyanyian-nyanyian yang sering menimbulkan nafsu berahi, lagu-lagu joget
dan tarian yang bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan
mahram, lagu-lagu yang boleh merosakkan budi pekerti muda mudi serta
melalaikan mereka dari beribadat kepada Allah.
3.1- BACAAN AL-QURAN
Al-Quran adalah kalam Allah dan kitab
suci umat Islam. Ia bukan sahaja mempunyai nilai sastera yang amat
indah dan tinggi tetapi juga mempunyai seni bacaan yang unik. Oleh itu,
membaca al-Quran diberikan prioriti yang pertama dan utama dalam Islam.
Kita dituntut oleh syariat Islam supaya membaca al-Quran mengikut
tajwidnya yang betul dan dengan suara yang baik bukan dengan cara
berlagu sebagaimana lagu-lagu qasidah. Ini kerana ia boleh merosak dan
mungkin
akan menambah atau mengurangkan huruf-huruf al-Quran dan dianggap suatu
bida’ah pula. Menurut Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya, Kaff
al-Ri’a’ al Muharramat al-Sama’, kesengajaan membaca al-Quran secara
berlagu dengan menambahkan huruf atau menguranginya untuk memperelokkan
dan memperhiaskannya adalah fasiq.Bahkan menurut fatwa Imam al-Nawawi
mengenai golongan yang membaca al-Quran dengan berlagu yang buruk serta
banyak perubahannya, maka hukumnya adalah haram menurut ijmak para
ulama’. Pemerintah wajib mengancam dan meminta mereka bertaubat, malah
setiap orang yang mukallaf hendaklah mengingkarinya seupaya yang
mungkin.
3.2- NYANYIAN DAN SENI MUZIK
Nyanyian dan muzik boleh mengubah
sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di samping mempunyai
kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih,
pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik
sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu
dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral
manusia.
Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah
bertujuan kearah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke
arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik
yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang
merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.
3.3- PANDANGAN ULAMA’ DAN FATWA BERHUBUNG SENI MUZIK
a) Pandangan Imam al-Ghazali
- tidak terdapat keterangan yang jelas dari sunnah Rasulullah yang melarang penggunaan alat-alat muzik
- sebahagian instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang
-
seni muzik yang dilarang ialah seni muzik yang berada di dalam keadaan
yang bersekongkol dengan kumpulan pemabuk, perzinaan dan perbuatan dosa
yang lain
- mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram
- Imam al-Ghazali mengklasifikasikan lagu-lagu kepada 7 jenis iaitu :
• Lagu-lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi tempat-tempat suci seperti Mekah dan Madinah
• Lagu yang mengobarkan semangat untuk berjuang mempertahankan aqidah dan negara
• Lagu yang memperihalkan pertarungan dan sikap kelelakian yang pantang mengalah di saat-saat genting
• Lagu yang mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan kesedihan yang
positif. Mengingatkan diri terhadap hakikat hidup yang sebenar.
• Lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk menghargai suasana tersebut dan menikmati kenangannya
selama yang mungkin
• Lagu bercorak ghazal yang sopan : memperihalkan kisah cinta dan
membayangkan harapan untuk bertemu dan pertautan yang lebih erat di
masa yang akan datang
• Lagu yang memperihalkan keagungan sifat-sifat tuhan, memuji serta mentahmidkan kebesarannya
b) Pandangan Imam Shafi’i
- Menyatakan bahawa nyanyian itu adalah makruh dan melalaikan di dalam kitabnya, Adab al-Qada’
- Ia menyamai kebatilan dan sesiapa yang mendengarnya maka dia adalah seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Mendengar nyanyian dari wanita yang bukan mahram tidaklah harus dalam
apa jua keadaan samada di tempat terdedah atau di tempat tertutup,
samada wanita yang merdeka atau hamba
- Jika tuan kepada hamba abdi wanita mengumpulkan orang ramai agar
mendengar nyanyian abdinya itu, maka dia juga seorang safih dan
penyaksiannya ditolak
- Memakruhkan penggunaan seruling kerana menurutnya itu adalah
perbuatan kaum Zindik untuk memesongkan orang dari mendengar al-Quran
c) Pandangan Imam Malik
- Melarang mendengar nyanyian
-
Menyatakan bahawa barangsiapa ingin membeli seorang abdi wanita dan
diketahuinya wanita tersebut seorang penyanyi, maka janganlah dibeli
wanita tersebut
d) Pandangan Ibn Taimiyyah
- Membezakan antara mendengar
nyanyian dan muzik yang bermanfaat pada agama dan antara apa yang
diberi pengecualian untuk mengelakkan dosa, dan antara pendengaran
muqarrabin dan pendengaran orang-orang biasa
- Diharuskan mereka mendengar apa yang disyariatkan kepada para hamba
Allah iaitu mendengar ayat-ayat Allah : dapat membaiki hati dan
menyucikan jiwa
e) Pandangan Dr.Yusuf al-Qaradawi
- Membuktikan mengenai hukum
seni muzik yang pada asalnya bersifat harus tetapi boleh berubah kepada
hukum-hukum lain berdasarkan beberapa syarat iaitu :
• Bukan semua lagu itu harus. Isi kandungannya hendaklah
bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajarannya. Nyanyiannyanyian
yang menyanjung pemerintah yang zalim, taghut dan fasiq adalah
bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam melaknat para pelaku
kezaliman dan para pengampunya.
• Cara persembahannya juga mesti diambilkira. Kadangkala tajuk lagunya tidak menjadi masalah tetapi cara penyampaian
penyanyinya itu yang boleh menyebabkan hukumnya haram, syubhah atau makruh. Ini termasuklah cara nyanyian yang
memberangsangkan ghairah seks para pendengar melalui tematema cinta berahi.
• Hendaklah nyanyian itu tidak diiringi dengan perkara yang haram
seperti meminum arak, mendedahkan aurat atau bercampur diantara lelaki
dan perempuan tanpa batas dan had.
• Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah tidak dilebih-lebihkan terutama nyanyian yang menyentuh
perasaan dan kerinduan yang berlebihan. Sekiranya unsur-unsur yang
berlebihan ini tidak dikawal, ianya akan mengabaikan hak akal, rohani
dan kehendak seseorang, masyarakat dan agama.
• Sekiranya terdapat unsure nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat,
mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk mengerjakan
ibadah maka menjadi kewajipan ke atas pendengar untuk menjauhinya,
menutup pintu fitnah tersebut demi memelihara dirinya dan agama.
f) Fatwa Sheikh Mahmud Shaltut
- Mendengar dan bermain alat
muzik adalah sama hukumnya dengan merasa makanan yang lazat, menghidu
bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai
pengetahuan yang tidak diketahui. Semuanya memberi kesan untuk
menenangkan fikiran apabila jasmani penat dan memberi kesan dalam
memulihkan semula tenaga.
- Al-Quran yang mendasari segala peraturan dan perundangan yang begitu
sempurna adalah bertujuan untuk menjaga supaya tidak berlaku
keterlaluan di pihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang
menggunakan muzik secara berlebihan. Apatah lagi Islam menuntut kepada
kesederhanaan.
- Fuqaha’ terdahulu telah membenarkan penggunaan seni muzik apabila
mempunyai tujuan yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang,
haji, perkahwinan dan hari kebesaran Islam. Mengikut fuqaha’ Hanafi,
muzik yang dilarang ialah sekiranya bercampur dengan majlis yang
terdapat arak, penyanyi perempuan yang mengghairahkan, unsur-unsur
fasiq, perzinaan dan berhala.
- Beliau memberi amaran kepada sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah.
3.1- TARI MENARI
Islam tidak dapat menerima apa yang dikenali kini sebagai budaya rock.
Bahkan semua perbuatan yang membawa kepada keghairahan syahwat seperti
nyanyian-nyanyian lucah dan drama-drama liar meskipun ianya dianggap
sebagai seni dan dikatakan kemajuan. Ini kerana, nilai dan kemajuan
dalam Islam berbeza dengan Barat yang tidak mengambil kira agama
sebagai panduan atau kayu pengukurnya.
Islam mengharamkan sebarang interaksi bebas insan yang berlainan
jantina tanpa perkahwinan yang sah. Demikian juga sebarang perbuatan
atau kegiatan yang membawa kepada yang diharamkan seperti perbuatan
zina di mana Islam tidak saja melarang dengan sebutan “jangan berzina”
tetapi semua yang membangkitkan syahwat dan keghairahan nafsu.
BAB 4 : SENI RUPA
Secara umumnya para ulama’ membahagikan seni rupa kepada 2 iaitu:
a) Seni rupa yang mempunyai imej ataupun bentuk dan hasilnya dinamakan patung
b) Seni rupa yang tidak mempunyai imej mahupun bentuk dan hasilnya dinamakan gambar atau lukisan
4.1- SENI UKIR
• Seni ukir Islam mempunyai nilai yang tinggi
baik dalam susunan komposisi cara pengisian bidang yang dihias ataupun
dalam cara mensejajarkan motif-motif ukirannya
• Pembahagian bidang diatur berdasarkan geometri, motif-motif tabi’i seperti daun, akar, bunga dan sebagainya
• Dalam seni ukir Islam wujud paduan yang harmoni antara rasa dan akal
• Ia juga dikenali sebagai seni pahat yang merangkumi apa-apa sahaja yang diukir atau yang dipahat
4.2- PATUNG
• Islam mengharamkan patung di dalam rumah yang dijadikan perhiasan dan
sebagainya kerana malaikat rahmat akan menjauhi rumah tersebut
• Jika si pembuat patung tersebut mengetahui bahawa patung itu akan disembah maka dia adalah seorang kafir
• Jika si pembuat patung itu tidak sengaja dan tidak mengetahui bahawa
patung itu akan disembah, maka dia berdosa sahaja dengan perbuatannya
itu
• Terdapat hadith yang menyatakan bahawa si pembuat patung akan dipaksa
memberi nyawa kepada patungnya. Dia akan diseksa selama mana ia tidak
dapat memberikan nyawanya kepada patung tersebut.
4.3- PATUNG CACAT
• Segolongan ulama’ berpendapat bahawa Islam
tidak mengharamkan patung yang tidak sempurna atau yang cacat kerana ia
tidak dapat disembah kerana tidak lengkap anggotanya
• Bahkan membuat patung cacat, hukumnya mubah
• Tetapi, patung separuh badan yang dibina bagi mengagungkan
pemimpinpemimpin tertentu, pengharamannya lebih tegas daripada patung
kecil yang lengkap anggotanya yang hanya sekadar menjadi hiasan rumah
4.4- PATUNG PERMAINAN KANAK-KANAK
• Tidak terdapat larangan
khusus mengenainya dalam Islam kerana ia sekadar lukisan atau ukiran
untuk hiburan kanak-kanak bukan bermaksud untuk disembah
• Menurut Imam al-Syawkani, anak-anak kecil boleh bermain dengan boneka (patung)
• Tetapi Imam Malik melarang lelaki membelikan boneka kepada anak perempuannya
• Qadi ‘Iyad pula membolehkan anak-anak kecil perempuan bermain-main dengan boneka kerana rukhsah
4.5- LUKISAN
• Jika lukisan seni berbentuk sesuatu yang disembah melainkan Allah
seperti gambar Nabi Isa A.S atau al-Masih bagi orang-orang Kristian
atau lembu bagi orang-orang Hindu dan sebagainya, maka pelukisnya tidak
lepas daripada azab
Allah
• Orang yang melukis sesuatu yang tidak dapat disembah tetapi dengan
niat untuk menandingi ciptaan Allah, pelukis itu bukan saja terkena
ancaman sebagai orang yang “paling berat seksaannya pada hari kiamat”
malah dia juga terkeluar dari
agama Islam
4.6- FILEM (WAYANG GAMBAR)
• Filem Islam ialah filem yang menemukan kefahaman-kefahaman Islam
dengan Allah, alam semesta, kehidupan dan manusia sebagai pertemuan
yang menyeluruh dan sebahagiannya yang hanya terhad kepada sifat-sifat
keIslamannya
• Mengenai panggung wayang, Prof. Dr. Yusu al-Qaradawa menjelaskan
- Kadarnya harus munasabah dengan masyarakat yang menggalakkan keprihatinan bukan masyarakat yang lalai dan leka
- Panggung wayang janganlah menjadi tempat mengobarkan syahwat, merosak
komitmen terhadap nilai-nilai unggul, menghakis akhlak belia atau
meracuni akal mereka dengan idea-idea asing yang bertentangan dengan
aqidah dan pegangan ummah
- Waktu-waktu tayangan hendaklah tidak bercanggah dengan waktu sembahyang
- Panggung wayang tidak boleh menjadi tempat atau sarang untuk muda
mudi memadu kasih secara haram serta berleluasa menginjak batasan syarak
- Janganlah panggung menjadi institusi yang membolot harta rakyat
kerana dimonopoli oleh sesetengah pihak dan mereka menjual tiket-tiket
dengan harga yang mahal tanpa ada pengawasan daripada pihak
bertanggungjawab
4.7- SENI KHAT
• Khat merupakan seni yang mengandungi keindahan estetika
• Merupakan kesenian yang paling asas di dalam Islam kerana ia merupakan wadah kepada pengaliran ilmu
•
Kaligrafi atau seni khat berasal daripada perkataan latin iaitu
‘kalios’ yang bererti indah manakala ‘graph’ bermaksud garisan atau
tulisan
• Ahli dalam seni khat dipanggil Khattat
• Seni khat bermula serentak dengan turunnya wahyu Ilahi kepada
Rasulullah kerana pada zaman jahiliah, orang-orang Arab berpegang
kepada tradisi lisan untuk menyimpan maklumat dan komunikasi mereka
• Ahli-ahli kaligrafi sangat dimuliakan : mereka diberi hadiah dan
kedudukan yang istimewa oleh para raja dan orang-orang besar di seluruh
dunia Islam
• Karya-karya mereka memaparkan kewibawaan luarbiasa para seniman silam
malah menjadi sumbangan yang hidup kepada tamadun Islam yang melahirkan
mereka
4.8- SENI BINA
• Seni bina Islam telah berkembang seiring dengan seni ukir dan seni khat Islam
•
Seni bina Islam mempunyai ciri-cirinya tersendiri dan bersifat unik :
mengandungi seni khat, bentuk arabesque, corak geometrid an motif seni
reka
• Wujud pengaruh yang kuat daripada ayat-ayat al-Quran, hadith dan syair-syair bahasa Arab
• Selepas kewafatan Rasulullah, seni bina terus berkembang terutama di
zaman Khulafa’ al-Rasyidin khususnya melalui pembinaan masjid yang
dihias dengan tulisan khat
• Di zaman Bani ‘Umayyah, istana-istana khalifah turut diukir dengan
seni ukir yang unik. Buktinya, istana ‘Amarah yang terletak di timur
Laut Mati dan di Masjid al-Haram tersergam indah dengan seni bina Islam
dan ukiran yang bercirikan Islam
• Di zaman kerajaan Islam di Sepanyol (Andalusia), unsur-unsur seni
bina Islam amat terserlah pada bangunan dan istana seperti yang
terdapat pada Istana Alhambra dan Masjid Cordova
• Di zaman kerajaan Islam ‘Abbasiyyah, seni bina Islam mencapai zaman
keemasan kerana ciri-ciri seni bina Islam mampu bersepadu dengan seni
bina Parsi yang tidak mempunyai unsur-unsur seni yang bertentangan
dengan Islam
• Kerajaan Dawlah ‘Uthmaniyyah yang berpusat di Turki turut mencatatkan
kehebatan di dalam perkembangan seni bina Islam. Buktinya, pembinaan
Masjid Mihrimah, Sehzade, Suleymaniye dan Selimiye.
• Seni bina ini terhasil dengan kepakaran para arkitek Islam seperti Sinanuddin Yusuf b. Abdullah, Khayruddi dan Ahmad Pasha
BAB 5 : SENI PAKAIAN
Pakaian merupakan kebudayaan manusia yang dibenarkan bahkan dituntut
oleh agama Islam agar manusia kelihatan sopan dan cantik : berbeza
dengan haiwan yang tidak berakal. alam Islam, seni pakaian dari sudut
estatikanya diserahkan kepada kebijaksanaan umat Islam endiri
menggubahnya untuk disesuaikan dengan adat, tradisi dan keadaan
setempat. Islam amat menitikberatkan soal kebersihan kerana melihatnya
sebagai asas bagi setiap perhiasan
yang baik dan pemandangan yang elok dalam pakaian.
Pakaian yang diperbuat daripada bulu kambing, sutera, kulit binatang
yang halal, pakaian dari benang guni dan sebagainya adalah dihalalkan.
Begitu juga dengan seni memperagakan pakaian. Ia dihalalkan selagi
tidak melanggar batas-batas hukum Islam. Pakaian berfungsi sebagai
usaha menutup aurat dan untuk menghias diri. Oleh itu, sesuatu pakaian
yang tidak dapat menutupi aurat meskipun dapat dijadikan perhiasan diri
seperti kain yang jarang adalah dianggap tidak menurut hukum Islam.
Pakaian yang dapat memelihara diri dari panas dan kesejukan serta
dapat mempertahankan diri dalam peperangan juga dihalalkan dalam Islam.
Selain itu, terdapat hadith yang menganjurkan agar kita berpakaian
menutup aurat pada setiap masa. Lebih-lebih lagi sewaktu solat dan
mengerjakan haji agar dapat dibezakan atau dibanteras amalan
orang-orang Arab jahiliah masa lampau. Ini kerana, semasa ingin
beribadat mereka membuka seluruh pakaian mereka. Apa sahaja perhiasan
yang didapati dari perut laut seperti mutiara, batu-batu berharga dan
lain-lain boleh dijadikan pakaian dan perhiasan manusia terutamanya
kaum wanita. Dalam hal warna pakaian pula, tidaklah terlalu
dititikberatkan oleh Islam. Namun begitu, adalah lebih baik jika
berwarna putih.
Pakaian yang diperbuat dari sutera dan perhiasan emas dihalalkan
bagi kaum wanita memakainya tetapi diharamkan bagi kaum lelaki. Haram
bagi kaum lelaki untuk memakai atau mengguna apa saja yang diperbuat
daripada emas seperti gelang, rantai, bekas rokok, gigi emas dan
sebagainya. Tetapi tidak diharamkan mereka memakai atau mengguna apa
sahaja yang diperbuat daripada perak, logam, besi dan sebagainya.
BAB 6 : SENI SASTERA
Sastera ertinya bahasa, seni sastera
ialah seni bahasa. Susastera bermaksud ‘Bahasa Yang Indah’.
Kesusasteraan pula bermaksud sejumlah tulisan yang menggunakan bahasa
yang indah bagi melahirkan perasaan yang indah. Sastera adalah salah
satu cabang seni manakala seni itu adalah suatu yang indah yang dapat
dihubungkaitkan dengan keindahan mutlak Allah itu sendiri.
Kesusasteraan ialah satu bentuk tulisan yang dicipta oleh manusia
dengan bantuan bahasa
dengan tujuan menikmati penerokaannya ke dalam pengalaman-pengalaman
semasa hidup. Bentuk utama sastera ialah sifat pengisahan yang terdapat
di dalam pernyataannya. Ahli karya sastera peka bertindak balas ke atas
fakta-fakta penghidupan dan mempersembahkan kepada pembaca hasil
kesedaran instuitif.
Pada umumnya, segala karangan atau karya tulisan yang menggunakan bahasa yang indah dapat dibahagikan kepada 2:
a) Prosa Nathr – karangan bebas yang tidak terikat dengan sebarang peraturan
b)
Puisi Syi’r- karangan atau gubahan perkataan yang terikat dengan
peraturan tertentu seperti sajak, pantun, tamthil, ibarat dan
sebagainya
Terdapat pengecualian bagi penyair yang rongganya penuh dengan
syair-syair memuji Allah atau RasulNya, demikian juga syair-syair yang
memuatkan zikrullah dan ajaran-ajaran agama, maka ianya tidaklah
dilarang dan tidak dicela sebegitu keras. Para sasterawan tidak
dilarang sama sekali malah digalakkan agar mereka menghasilkan karya
yang mengandungi nasihat agama, semangat perjuangan untuk menegakkan
kebenaran, keadilan dan menghapuskan kemiskinan dalam masyarakat.
Karya-karya mereka pada zaman dahulu penuh dengan ilmu pengetahuan,
menganjurkan kerjasama, persahabatan dan perpaduan ummah serta
mengandungi puji-pujian terhadap Allah, selawat ke atas nabi, pujian ke
atas para sahabat pilihan, para malaikat, kitab-kitab suci dan lain-lain.
Syair dan usaha syair tidak dilarang jika ianya digarap untuk tujuan
meningkatkan semangat jihad, memperbaharui tekad, menghibur juga
menghilangkan penat lelah berkerja, menyeru melaksanakan amar ma’ruf
nahi mungkar, menyebut syurga neraka, menyelar perbuatan zina, minum
arak atau mengambil dadah, menimbulkan keraguan terhadap berhala dan
penyembahannya. Bahkan Rasulullah sendiri mengucapkan syair sewaktu
menggali parit dalam peristiwa perang Ahzab. Menggarap syair yang baik
dan mendengarnya adalah digalakkan dalam Islam. Dalam Islam,
menggunakan keupayaan kreatif samada melalui prosa atau puisi amat
digalakkan terutama untuk menentang musuh dan membela Islam, bahkan ia
dianggap suatu jihad. Termasuk dalam kategori ini juga ialah
syair-syair yang memuatkan pujian kepada Nabi
Muhammad S.A.W seperti berzanji, contohnya seperti gubahan al-Bushayri yang diberi nama al- Burdah :
Dia kekasih Pembawa syafa’at diharapkan
Dapat menghapuskan segala bahaya mendatang
Dia menyeru ke jalan Allah, barangsiapa yang mengikutnya
Bererti ia berpegang kepada tali yang teguh
Baginda mengatasi para anbiya’
Dalam kejadian dan akhlaknya
Ilmu dan kemurahan Baginda tiada bandingannya
Semangkuk laut setitik hujan
Para Rasul memerlukannya
Jika syair-syair yang memuji para Nabi dan Rasul digalakkan dalam
Islam, apatah lagi syair-syair yang memuji Allah S.W.T seperti yang
digarap oleh penyair-penyair agung dunia di kalangan pujangga-pujangga
sufi dan sebagainya. Contohnya, munajat Ibn al-Farid, seorang penyair
sufi Mesir yang masyhur :
Kala malam
Ku lihat api di desa
Ku gembirakan keluargaku
Tunggulah? Agarku dapat hidayat
Semoga….
Ku hampiri api
Itulah api al-Mukallam
Sebelumku.
Hingga pabila waktuhampir sedikit-sedikit menghimpun sekujur tubuhku
Runtuhlah gunungku
Dari kebesaran al-Mutajalli
Muncul rahsia sembunyi
Bisa diketahui
Siapa seperti diri ini
Akulah faqir kesibukan
Simpatilah keadaan
Kelemahan ini!
BAB 7 : RUMUSAN
Kesenian Islam bertunjangkan tauhid, iaitu
keEsaan Tuhan yang bertolak dari pengajaran al-Quran dan as-Sunnah.
Bacaan al-Quran yang liturgis telah menciptakan suatu cabang muzik
baru. Pemeliharaan naskahnya telah melahirkan tulisan atau khat Arab
yang indah. Pembinaan masjid-masjid sebagai tempat ibadah kaum Muslimin
pula telah mengembangkan seni bina dan seni hias. Di dalam menjaga
keseimbangan antara keperluan jasad dan jiwa, Islam telah menganjurkan
sikap sederhana dalam semua perkara dan membawa kepada bakat-bakat
alami di dalam jurusan-jurusan yang benar dan telah
mencuba untuk mengembangkan suatu keseluruhan yang harmonis dalam diri
manusia. Dalam sabda-sabda Nabi, terdapat teks-teks yang menegaskan
keprihatinan Islam terhadap pelbagai aspek seni. Misalnya, sabda
Baginda “Allah itu indah dan sukakan keindahan” dan “ Keindahan itu
disuruh di dalam segala sesuatu, biarpun engkau membunuh seseorang,
maka bunuhlah dia dengan suatu cara yang baik”.
Di dalam kehidupan Nabi, kita dapati peristiwa berikut yang
bersifat instruktif, di mana Baginda pada suatu hari telah melihat
sebahagian dari pusara yang tidak diratakan sepenuhnya. Baginda telah
memerintahkan kekurangan itu ditimbun sampai rata, sambil menambah
bahawa ia tidak akan menjejaskan orang yang mati tetapi ia lebih
menyenangkan mata orang yang hidup. Sementara itu, mimbar di dalam
masjid yang digunakan oleh Rasulullah telah dihiasi dengan 2 bola
seperti buah delima dan 2 orang cucu Baginda amat suka bermain-main
dengannya. Ini dapat dikatakan sebagai permulaan seni ukir dalam Islam.
Kemudian naskah-naskah al-Quran telah dihiasi dengan pelbagai corak
warna. Apabila al-Quran diberi perhatian supaya lebih cantik dan dapat
disimpan lebih lama maka lahirlah pula seni hias dan seni menjilid
buku.
Kaligrafi atau tulisan khat sebagai suatu kesenian adalah suatu
keistimewaan orang Islam. Ia merupakan kesenian yang mendapat
kehormatan yang tertinggi, khasnya tulisan Arab untuk menulis segala
firman Allah dan sabda Rasulnya. Dengan kepelbagaian jenisnya, khat
Arab telah dipergunakan dengan begitu meluas di dalam dunia Islam.
Berhubung dengan muzik dan nyanyian di bawah naungan Raja-raja atau
Khalifah-khalifah Islam pula, maka ia telah sampai ke kemuncak
perkembangannya yang gemilang. Sarjana- sarjana Islam yang terkenal
seperti al-Farabi, Ibn Sina dan lain-lain telah meninggalakan bukan
sahaja karya-karya monumental tetapi juga telah membuat penambahan dan
peningkatan yang berharga terhadap muzik-muzik Greek dan India. Mereka
telah mencipta kod-kod muzik di samping dapat menentukan jenis-jenis
alat muzik yang berbeza. Ringkasnya, dalam lapangan kesenian orang
Muslimin telah memberi sumbangan yang
berharga sekali. Mereka mengikis sifat-sifatnya yang merugikan,
mengembangkan aspek-aspek estetiknya dan menemukan sesuatu yang baru
yang berfaedah untuk dunia.
|